Wednesday, May 2, 2012

Hari ke 4. Kesilapan yang tak patut dilakukan

Hari ke tiga penyemaian nampaknya langsung tak membuahkan hasil. Bijih benih pun tak bercambah. Kesilapannya sebab saya semai biji tersebut terlalu dalam di dalam peat moss menyebabkan air tak sampai ke biji. Saya harap ini dapat dijadikan pengajaran kepada saya. Dan satu nampaknya teknik memasukkan trail semaian ke dalam plastik hitam tidak sesuai. Mungkin tekniknya tidak betul. Dan salah satu lagi faktornya sebab saya letak di tempat panas, walaupun telah ditutup dengan plastik hitam, tapi menyebabkan peat moss cepat kering.

Saya yang terpaksa bekerja di pejabat dan tidak mampu meluangkan masa untuk menyiramkan benih cili itu pada tengaharinya menyebabkan media semaian cepat kering. Lalu saya angkat trail tersebut dan diletakkan di dalam rumah. Teduh dan tidak terlalu panas. Saya ambil batang pen dan saya korek balik benih cili yang ditanam. Barulah saya tahu saya telah tersilap tanam benih tersebut terlalu dalam menyebabkan air tidak sampai dan tak dapat membekalkan air kepada benih.

Lepas dikorek, saya letakkan biji tersebut di atas tanah di setiap lubang. Kemudian saya tekan sedikit ke dalam tanah biar ia ditutupi dengan lapisan media yang nipis. Kemudian saya spray media tersebut dengan air sehingga lembab.

Paginya, Alhamdulillah, saya mendapati beberapa biji telah bercambah. Nampaknya saya telah membazirkan masa 3 hari dengan melakukan kesilapan yang tak patut. Insyallah, bila melakukan projek penanaman yang lebih besar nanti, saya akan lebih berhati-hati sewaktu menyemai biji benih.

Saya berharap semoga 20 pohon pokok ini akan dapat dijadikan sebagai kayu ukuran untuk saya lebih tabah dalam menceburi bidang pertanian. Pada keesokan hari iaitu 3 Mei 2012, akan diadakan expo pertanian di persekitaran Stadium Sultan Muhammad ke IV di Kota Bharu. Seronok sangat sebab baru sahaja minat dengan pertanian, tiba-tiba diadakan ekspo berdekatan dengan kawasan saya. Harap-harap boleh banyak info berkenaan dengan pertanian. Lagipun saya tengah mencari stok baja AB Fertigasi untuk cili ni. Mana tahu boleh dapat dengan harga yang lebih murah.

Dan satu lagi lupa nak bagi tahu, saya telah berjaya memesan coco peat. Harganya ialah RM4 bagi satu guni 20 kilo beras. Tak tahulah samada harga itu masih terlalu mahal ataupun sudah berpatutan. Insyallah akan sampai pada minggu hadapan. Padahal boleh saja pergi terus ke kilangnya di Pantai Senok, tapi memandangkan saya masih mempunyai masa yang masih panjang untuk penyediaan polybeg dan anak pokok pun masih belum tumbuh daun, saya tunggu saja coco peat tersebut sampai.

1 comment:

  1. baja cecair mikro Bio-One-Plus
    untuk maklumat lanjut boleh ke
    mdaarifent.blogspot.com

    ReplyDelete