Friday, April 27, 2012

Ilham penanaman cili

Assalamualaikum w.b.t.

Blog ini dibina bagi dijadikan sebuah catatan log penanaman cili secara fertigasi saya. Penanaman secara fertigasi telah menjadi minat saya setelah melayari beberapa blog serta mendapatkan maklumat daripada buku-buku pertanian.

Selain itu, pertanyaan daripada sahabat-sahabat yang arif dalam pertanian juga banyak memberikan ilham serta inspirasi bagi menjalankan projek cili fertigasi ini. Galakan daripada ibu serta rakan-rakan juga dijadikan sebagai pendorong untuk berjaya dalam projek ini.

Diharap projek kecil ini akan dapat digunakan sebagai landasan untuk menjadikan pertanian sebagai satu sumber untuk kita berbakti kepada masyarakat serta beribadah kepada Allah s.w.t.

Pada 24hb April 2012, saya telah membuat pesanan bagi set sistem fertigasi mini bagi 20 pokok cili dengan romatechagro. Setelah tinjauan daripada beberapa blog, saya mendapati Romatechagro telah memberikan harga yang rendah serta berbaloi. Namun insyallah set peralatan tersebut akan diterima pada esok hari iaitu pada 28 April 2012.

Antara perkakas yang bakal saya perolehi ialah:
Biji Benih Kulai F1 568
1 trail semaian
1 beg peatmoss
20 keping pollybeg putih
20 unit dripper bengkok
20 unit nipper/start joiner 4mm
30 kaki micro tube 4mm
2 unit off take valve/Quick action valve 16mm
1 unit penebuk lubang mudah 4mm
1 unit poly end cap 16mm
4 unit poly equal elbow 16mm
1 unit poly equal tee 16mm
1 unit poly straight coupler 16mm
65 kaki poly pipe 16mm
22 kaki hamparan silver shine
1 set baja fertigasi AB 10 liter
1 unit digital timer (8 set masa)
Manual pemasangan.
1 unit penyukat 3 dalam 1 (EC/CF/TDS meter)
Pam air

Penyukat 3 dalam 1 dan pam air tu saya pesan secara berasingan iaitu masing-masing berharga RM150 dan RM35. Pakej Fertigasi 20 pokok asalnya adalah RM135, ditambah dengan belanja pos RM35. Jadi jumlah keseluruhan ialah sebanyak RM355. Namun begitu coco peat yang menjadi medium tanaman tidak termasuk dalam pakej ini. Hari ni juga, saya begitu teruja sampai dah beli kotak untuk menyimpan peralatan fertigasi serta 2 unit spray air. Harap-harap tidak hangat tahi ayam. Hehehehe

Tapi sekarang saya masih mencari-cari kedai berdekatan yang membekalkan peralatan fertigasi di Kota Bharu atau mana-mana sahaja di negeri Kelantan. Saya berharap juga bahawa ada sahabat-sahabat serta otai-otai yang sudah lama dalam bidang pertanian fertigasi ini untuk memberikan nasihat serta tunjuk ajar.

Ikhlas saya katakan bahawa pengetahuan saya dalam bidang pertanian masih kosong dan saya pula hanya mengambil jurusan Perakaunan sewaktu di universiti dulu. Tapi saya menetapkan dalam minda bahawa, semua kejayaan bermula dari usaha yang gigih tanpa mengenal penat lelah.Mungkin sebelum ini, balik sahaja dari kerja hanya fikir untuk siram pokok-pokok bunga dan cabut rumput di halaman rumah, tetapi sekarang saya perlu menjaga pokok sayur-sayuran pula.

Tak sabar nak tunggu esok nak dapat pakej fertigasi yang dipesan. Doakan kejayaan saya. Lagi satu, blog ini akan di kemaskini di setiap fasa pertanian yang di lalui sepanjang saya mengendalikan tanaman fertigasi ini. Diharapkan blog ini sedikit sebanyak menjadi panduan kepada sahabat-sahabat yang ingin menceburi bidang pertanian dan menjadikan panduan kepada saya untuk memperbaiki teknik-teknik penanaman saya. Kepada sahabat-sahabat yang ingin memberikan sebarang komen, pertanyaan atau nasihat, bolehlah menulisnya di bahagian komen. Terima kasih.




No comments:

Post a Comment